Thursday, February 19, 2009

Keistimewaan Golongan Penghidap Autisma


Kemahiran anak istimewa

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Mereka dilahirkan serba kekurangan, tetapi bakat yang dianugerahkan Tuhan kepada insan-insan tersebut sangat luar biasa.






ANGKAAN saya tepat. Jejaka muda berbaju merah yang menyambut saya di depan pintu pagar rumah adalah Angus Jude. Sebelum menekan bunyi loceng, dari bahu jalan raya lagi, saya dapat mendengar irama merdu dari sebuah piano yang berkumandang di udara.

Sebaik berkenalan dan dijemput masuk, Angus terus menggunakan jari-jemarinya untuk memetik setiap not piano yang berbaris di hadapannya. Dia memainkan sebuah lagu yang agak biasa dengan diri saya iaitu Only You daripada The Platters.

"Angus sememangnya seorang anak yang unik. Dia mampu bermain not piano hanya dengan mendengar lagu tersebut tanpa perlu menggunakan nota muzik," jelas ibunya, Nicolene Jude.

Sejak usia 16 tahun lagi, Angus berjaya menggamit perhatian keluarga menerusi kebolehannya bermain piano dengan sempurna. Sekali dengar, dia akan bermain setakat yang termampu. Apabila dia mendengar sebuah lagu kegemarannya berulang kali, Angus boleh memainkan lagu itu dalam versi penuh.

Berapa ramai daripada kita mempunyai bakat sebegitu? Jika dikira pemain piano yang pernah menghadiri kelas latihan muzik pun, belum tentu dapat bersaing dengan kemahirannya yang sungguh istimewa.
Angus, 33, merupakan seorang insan istimewa. Sekali imbas, anda tidak mungkin dapat mengagak masalah kesihatan yang dihadapinya. Hanya setelah berkongsi perbualan, barulah saya sedar bahawa dia mengalami masalah untuk berkomunikasi dengan lancar.

"Dahulu, keadaannya lagi teruk di mana anda sukar memahami apa yang disebutnya. Lagipun, dia seorang hiperaktif dan sukar dikawal," cerita ibunya sambil memberitahu Angus juga mempunyai masalah ketidakupayaan belajar.

Kesulitan itu mungkin berkait-rapat dengan penyakit autism yang dihidapinya. Biasanya, kanak-kanak atau orang dewasa akan menghadapi kepayahan berkomunikasi secara sosial dan diselubungi dengan tabiat melakukan sesuatu berulang kali. Umpamanya bercakap sendiri.

Cuma sekarang, Angus tidak kerap berbuat demikian setelah berjaya mengenal pasti bakat yang ada di dalam dirinya. Bakatnya mula dikesan pada satu hari apabila dia terdengar abangnya, Darren bermain elektone (sejenis organ elektrik). Terbuai dengan keenakan muzik yang menusuk telinga, Angus memainkan lagu yang sama, Love Story daripada Andy Williams menggunakan papan nada mainan (toy keyboard) keesokan hari.

Sejak itu dan sehinggalah hari ini, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu telah menguasai lebih 100 buah lagu tempatan dan antarabangsa, hanya dengan mendengar radio, menonton televisyen dan cakera padat (CD).

Angus yang mengasah bakatnya di bawah tunjuk ajar seorang guru muzik, membuat persembahan pertama pada tahun 1997 di Hyatt Saujana, Subang Jaya. Dia kemudian mendapat jemputan di Hotel Corus, Sunway Lagoon Resort, Hotel Armada, Palace of the Golden Horses, PWTC, Hotel The Legend, Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan sebagainya.

Bapanya, Jude Lee memberitahu, Angus pernah ditawarkan bekerja sebagai pemain piano di Hotel Istana, Kuala Lumpur. "Kemahiran Angus bermain piano jauh lebih maju dan mantap daripada kami semua (sekeluarga). Dia tidak segan beraksi di hadapan ratusan orang penonton," katanya.

Angus pula memberitahu: "Saya suka bermain piano, di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Saya suka lagu Getaran Jiwa (P. Ramlee), My Love Will Go On (Celine Dion), Loius Armstrong, Elvis Presley dan lain-lain."

Walaupun 'dicipta' dengan kekurangan, Wong Kar Lun, 27, juga memiliki bakat tersendiri. Bakatnya disedari secara tidak sengaja oleh ibunya ketika melihat lukisan Kar Lun.

Semasa melawat Kar Lun di Pertubuhan Keluarga Orang-orang Bermasalah Pembelajaran (Perkobp) di Puchong, Selangor, dia menunjukkan beberapa lukisan yang diilhamkan dengan hanya menggunakan cat air. Salah satu lukisan tersebut menggambarkan kesibukan di pasar basah dengan papan tanda Dilarang Merokok dan Exit. Dengan papan tanda yang tertulis Kedai Meng Kee, pembeli berbangsa Cina dan India dilihat tawar-menawar harga ikan.

Satu lagi lukisannya memaparkan gambar sebuah perahu yang berlabuh di sebuah perkampungan nelayan. Lukisan ketiga juga berlainan yang mana ia menampilkan suasana kampung yang damai.

Dengan pemilihan warna-warna yang terang dan segar, Kar Lun juga bijak memberi efek bayangan gelap bagi menghidupkan lagi lukisan sebesar kertas A4.

Enggan diambil gambar atau menyentuh latar belakang keluarga, ibu Kar Lun, Wong hanya berkata, anaknya juga suka menyanyi lagu bahasa Cina dan Inggeris. Meskipun Kar Lun tidak bersuara, penulis dapat menyedari bahawa anak ketiga daripada tiga orang adik-beradik ini tidak susah untuk dijaga.

"Daripada mencuci pakaian, menjemur kain, menggosok pakaian, menyapu rumah hinggalah memotong sayur, Kar Lun dapat melakukannya dengan baik. Dia juga sesekali memanggil atau memberitahu sesuatu," ujar Wong yang menjelaskan biarpun Kar Lun tidak bersuara, dia faham apa yang kami bincangkan.

Eksekutif Akaun selaku guru bahasa Inggeris di Perkobp, Mei Ling berkata, ramai daripada penghuni di pusat latihan itu mempunyai kebolehan masing-masing. Adiknya, Mei Yen pandai menyusun teka-teki silang daripada 500 keping kepada 700 keping dalam masa yang singkat.

Sementara itu, Pengurus Projek, Chng Cheng Hui yang bekerja di pusat itu sejak tahun 2002 membawa saya melawat pusat tersebut yang beroperasi di sebuah dewan MCA.
Anaknya, Chng Kuan Hua, 22, juga didaftarkan di pusat tersebut.

Dengan 46 tenaga pekerja, mereka yang berusia 16 hingga 54 tahun ditugaskan di beberapa seksyen yang berlainan. Seksyen pertama menghimpunkan jumlah pelatih yang ramai. Tugas mereka ialah membungkus pek sos cili dan tomato dengan plastik.

Seksyen kedua ialah dobi. Terdapat tiga buah mesin basuh dan tiga lagi mesin pengering. "Pada masa kini, kami menerima kontrak membasuh tuala dari sebuah hotel. Selain menggosok, tiga orang pelatih dipertanggungjawabkan untuk membasuh, mengering, melipat tuala bersih dan dimasukkan ke dalam kotak," jelas Chng.

Seksyen ketiga ialah bakeri. Dapur itu hanya berasap pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat. Pada hari-hari tersebut, seorang chef Jepun singgah untuk mengajar dan memantau keadaan. "Seksyen terakhir terpaksa dibekukan sementara waktu iaitu berkebun atas sebab ketidaksesuaian tempat," tambahnya.

Menurutnya, setiap pelatih menerima sedikit upah mengikut tahap kerja. Tepat pukul 12 tengah hari, mereka beratur untuk merekodkan masa rehat dan membayar sebanyak RM3 untuk makanan yang dihidangkan.

Kenapa perlu bayar? "Sebab kami ingin melatih mereka untuk menikmati kehidupan sebenar seperti di luar. Ramai yang tidak tahu mengira atau berkomunikasi sesama sendiri. Di Perkobp, kami memupuk kemahiran hidup secara perlahan-lahan," jelas Chng yang menambah tujuh daripada pelatih itu tinggal di sebuah pangsapuri. Yang lain tinggal bersama keluarga.

Dengan bantuan seorang penjaga, penghuni-penghuni itu diajar berdikari seperti memasak, mencuci pakaian dan membasuh tandas.

"Saya tidak mahu ada individu mengambil kesempatan terhadap mereka pada masa akan datang," ujar Mei Ling merujuk selepas dirinya dan ibu bapa meninggal dunia.

Sungguhpun kekurangan dana bagi membina sebuah pusat latihan baru di Kampung Tengah, Puchong, Chng dan kakitangannya tetap akan meneruskan perjuangan bagi kebaikan anak-anak istimewa ini untuk bersosial dan menjalani kehidupan normal.

"Perkopb beroperasi atas sumbangan ibu bapa anak-anak ini serta dermawan. Tanpa platform ini, ke manakah hala tuju hidup mereka," soalnya.

Angus cukup bertuah kerana dengan kemahiran muzik yang dikecapi, dia menerima banyak jemputan. Dia juga gemar keluar membeli-belah bersama keluarga. Katanya: "Angus like to go to The Curve, Ikea, Tesco. Angus like to go to restaurant. Angus sayang my mum and dad (Angus suka pergi ke The Curve, Ikea, Tesco. Angus suka pergi ke restoran. Angus sayang ibu dan ayah)."

Sebelum pulang, penulis dan jurugambar, Aby Baizura dihidangkan dengan lagu Getaran Jiwa oleh Angus.
ika anda ingin menderma kepada Perkobp, hubungi Chng Cheng Hui di talian 603-7781 6467 atau 016-292 8438 atau hantarkan e-mel kepada admin@perkobp.org.

Anda juga boleh menghubungi atau menjemput Angus membuat persembahan di talian 012-315 2557.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.html

No comments:

Pentaksiran Murid Berkeperluan Khas

 Pentaksiran.