Saturday, February 14, 2009



PENGENALAN

Pembelajaran ialah suatu aktiviti seumur hidup. Pembelaran berlaku secara sedar dalam keadaan formal dan secara tidak langsung melalui pengalaman. Pembelajaran meliputi pelbagai kemahiran, iaitu daripada pengetahuan mengenai fakta-fakta mudah kepada kemahiran dalam prosedur yang kompleks. Adakalanya pembelajaran itu berlaku dengan mudah manakala ada pula memerlukan usaha yang lebih. Ini merupakan sebahagian daripada perkara yang kita tahu mengenai pembelajaran. Namun pembelajaran merupakan suatu proses yang kompleks. Hasil pembelajaran dalam prestasi manusia biasanya dapat diperhatikan tetapi proses pembelajaran adalah kurang nyata atau jelas.

Oleh itu, pelbagai jenis teori telah dikembangkan untuk menerangkan proses pembelajaran. Teori-teori ini meliputi perspektif, andaian dan kepercayaan yang berlainan tentang pembelajaran.






BAHAGIAN A : KONSEP PEMBELAJARAN

Definisi Pembelajaran

Pembelajaran boleh difahami sebagai satu proses yang menghasilkan perubahan tingkahlaku seseorang individu, iaitu sebagai satu reaksi terhadap satu-satu keadaan yang dihadapi. Perubahan tingkah laku ini bukanlah disebabkan oleh kematangan atau faktor biologi.

Pembelajaran juga membawa maksud satu proses memperolehi pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baru. Dengan pemerolehan perkara-perkara baru, tingkah laku seseorang individu itu juga akan turut berubah.

Proses Pembelajaran

Psikologi pembelajaran merupakan satu bidang sains yang masih baru, dan ahli-ahli psikologi tidak mula membuat kajian fenomena pembelajaran sehingga kira-kira 100 tahun dahulu. Semenjak itu, berbagai huraian tentang proses pembelajaran telah muncul.

a) Pembelajaran Sebagai Pemprosesan Maklumat

Psikologi kognitif memberi fokus kepada bagaimana manusia berfikir dan memproses maklumat yang diterima secara mental; dengan itu ia dirujuk sebagai teori pemprosesan maklumat.

Manusia mempelajari maklumat baru dengan mudah apabila mereka boleh mengaitkannya dengan sesuatu yang sudah mereka ketahui. Di samping itu, manusia mempelajari maklumat-maklumat baru dengan mudah jika mereka boleh mengaitkannya dengan struktur organisasi yang lebih umum (Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias: 116).

b) Pembelajaran sebagai hasil pengalaman

Pembelajaran adalah hasil dari pengetahuan. Pengalaman sekolah pelajar terdiri daripada berbagai-bagai bentuk. Contohnya, memberi perhatian terhadap pengajaran guru dalam kelas, mendapat pujian kerana melaksanakan tugas dengan baik, melihat rakan-rakan bermain di padang sekolah. Sebagai guru, kita perlu membentuk pengalaman bilik darjah yang boleh memaksimumkan pembelajaran kemahiran dan matlamat untuk menjadikan pelajar anggota masyarakat yang produktif. Kita juga perlu menguasai supaya situasi yang menimbulkan tingkah laku yang tidak produktif atau kepercayaan yang tidak betul, dikurangkan.

Proses Pembelajaran

Psikologi pembelajaran merupakan satu bidang sains yang masih baru, dan ahli-ahli psikologi tidak mula membuat kajian fenomena pembelajaran sehingga kira-kira 100 tahun dahulu. Semenjak itu, berbagai huraian tentang proses pembelajaran telah muncul.

a) Pembelajaran Sebagai Pemprosesan Maklumat

Psikologi kognitif memberi fokus kepada bagaimana manusia berfikir dan memproses maklumat yang diterima secara mental; dengan itu ia dirujuk sebagai teori pemprosesan maklumat.

Manusia mempelajari maklumat baru dengan mudah apabila mereka boleh mengaitkannya dengan sesuatu yang sudah mereka ketahui. Di samping itu, manusia mempelajari maklumat-maklumat baru dengan mudah jika mereka boleh mengaitkannya dengan struktur organisasi yang lebih umum (Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias: 116).

b) Pembelajaran sebagai hasil pengalaman

Pembelajaran adalah hasil dari pengetahuan. Pengalaman sekolah pelajar terdiri daripada berbagai-bagai bentuk. Contohnya, memberi perhatian terhadap pengajaran guru dalam kelas, mendapat pujian kerana melaksanakan tugas dengan baik, melihat rakan-rakan bermain di padang sekolah. Sebagai guru, kita perlu membentuk pengalaman bilik darjah yang boleh memaksimumkan pembelajaran kemahiran dan matlamat untuk menjadikan pelajar anggota masyarakat yang produktif. Kita juga perlu menguasai supaya situasi yang menimbulkan tingkah laku yang tidak produktif atau kepercayaan yang tidak betul, dikurangkan.
Prinsip-prinsip Pembelajaran

Prinsip-prinsip pembelajaran sebenarnya merujuk kepada dasar-dasar yang menerangkan cara pembelajaran boleh berlaku secara berkesan. Berikut ialah antara prinsip-prinsip tersebut :

1) Kesediaan belajar

Apabila seseorang murid telah bersedia dari segi mental untuk mempelajari sesuatu, pembelajaran akan berlaku dengan cepat. Bagi mmenjamin pembelajaran yang berkesan, seseorang murid hendaklah mencapai kesediaan kognitif (mental), kesediaan afektif (sikap dan minat) dan kesediaan psikomotor (koordinasi otot-otot dengan otak).

2) Pengalaman

Sejajar dengan prinsip ‘belajar melalui membuat’, murid-murid hendaklah digalakkan untuk menggunakan seberapa banyak organ derianya seperti mendengar, melihat, menyentuh, mencium dan merasa. Setelah mengalami sesuatu, hasil pembelajaran adalah lebih kekal dalam ingatan.

3) Keseronokan

Sekiranya murid bersara seronok ketika menjalankan sesuatu, perkara yang dialami akan lebih mudah diingati. Apabila seseorang guru memberi pujian atau hadiah kepada murid-murid kerana hasil yang baik, pembelajaran efektif akan berlaku. Murid-murid akan terus berusaha untuk memperolehi hasil pembelajaran yang sama.



4) Motivasi

Apabila seseorang terdorong untuk mempelajari sesuatu, pembelajaran itu adalah lebih berkesan. Dia akan mendengar serta memerhatikan tunjuk ajar itu dengan lebih teliti lagi.

5) Pengulangan

Sesuatu pengetahuan atau kemahiran, setelah dipelajari hendaklah diulang-ulang bagi menjamin kekekalan pembelajaran. Dengan itu, konsep-konsep yang dipelajari haruslah diulang kaji dari semasa ke semasa.

6) Peneguhan

Peneguhan memainkan peranan penting dalam pembelajaran. Keberkesanan pembelajaran akan meningkat sekiranya ia diteguhkan. Guru boleh menggunakan pujian atau ganjaran untuk meneguhkan tingkah laku yang diingini.

BAHAGIAN B : TEORI-TEORI PEMBELAJARAN DAN IMPLIKASINYA KE ATAS TEORI-TEORI PEMBELAJARAN

TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORISME

Teori ini dikenali umum dengan aliran mazhab tingkah laku yang mengutamakan pembelajaran kemahiran tertentu khususnya kemahiran fizikal. Menurut ahli-ahli psikologi behavioris, pembelajaran adalah perubahan yang berlaku dalam diri sesorang individu yang disebabkan oleh pengalamannya. Proses pembelajaran ini dilalui oleh setiap individu sejak dilahirkan.

Antara tokoh-tokoh behavioris yang terkemuka ialah ahli psikologi pelaziman klasik Ivan Pavlov dan ahli pelaziman operan yang terdiri daripada E.L. Thorndike dan B.F. Skinner.

TEORI PELAZIMAN KLASIK PAVLOV

Menurut Pavlov (1894), setiap rangsangan akan menimbulkan gerakbalas. Perkaitan antara ransangan dan gerakbalas akan mewujudkan proses pembelajaran. Mengikut teori ini setiap rangsangan akan menghasilkan gerakbalas. Gerakbalas ialah tingkahlaku yang timbul kesan daripada rangsangan. Rangsangan pula ialah tenaga yang menimbulkan gerakbalas.

Contohnya, apabila guru memberikan arahan supaya murid berdiri, maka murid dengan cepat akan berdiri. Arahan ialah rangsangan, manakala tindakan berdiri ialah gerakbalas. Hasil daripada kajiannya, Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku kesan daripada kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas. Pembelajaran yang berlaku melalui perkaitan tersebut dinamakan sebagai pelaziman dan pembelajaran yang berlaku akibat dua ransangan ini dikenali sebagai pelaziman klasik.

Dalam proses pembelajaran dan pengajaran melalui prinsip pelaziman klasik yang dikemukakan oleh Pavlov, terdapat beberapa konsep yang diambil kira iaitu:-

a) Penguasaan

Penguasaan atau bagaimana organisme mempelajari sesuatu gerak balas atau respons baru berlaku berperingkat-peringkat. Juga lebih kerap organisme itu mencuba, lebih kukuh penguasaan berkenaan.
b) Generalisasi

Generalisasi bermaksud ransangan yang sama akan menghasilkan tindakbalas yang sama. Misalnya, Ali menjadi risau setiap kali ujian kimia akan diadakan. Ali juga menjadi risau setiap kali ujian biologi akan diadakan kerana kedua mata pelajaran tersebut mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Jadi kerisauan dalam Kimia telah digeneralisasikan ke dalam Biologi.

c) Diskriminasi

Berlaku apabila individu bertindakbalas terhadap sesuatu ransangan yang tertentu sahaja dan tidak pada ransangan yang lain.

d) Penghapusan

Penghapusan berlaku apabila ransangan terlazim yang tidak disertai dengan ransangan tidak terlazim.

IMPLIKASI TEORI PAVLOV KE ATAS PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN

Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan dan gerakbalas mempunyai kaitan yang boleh dilazimkan atau dipelajari.Kaitan antara rangsangan dengan gerakbalas dapat diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerakbalas, semakin kukuh gerakbalas terlazim itu. Contohnya, apabila guru memberi pujian (rangsangan) setiap kali murid mendapat hasil yang baik (gerakbalas), maka gerakbalas itu menghasilkan sesuatu yang baik dan berterusan.

Dalam pembelajaran, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak diberikan. Ini bermakna, sekiranya sesuatu tingkahlaku tidak diperkukuhkan melalui ganjaran, tingkahlaku itu mungkin akan terhapus begitu sahaja. Konsep pemulihan serta-merta juga dapat membantu seseorang guru meningkatkan keberkesanan pembelajaran.


BIBLIOGRAFI

BUKU
Amir Awang, 1989, Teori-teori Pembelajaran, Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd
Ee Ah Meng, 1997, Psikologi Pendidikan I (Psikologi Perkembangan), Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd
Ee Ah Meng, 1997, Psikologi Pendidikan II, Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd
Ee Ah Meng, 1997, Psikologi Pendidikan III, Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd
Rahil Mahyuddin & Habibah Elias, 1999, Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan,
Ramlah Jantan & Mahani Razali, 2002, Psikologi Pendidikan, Pendekatan Kontemporari, Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris
INTERNET
Mastery learning. 2000. (atas talian)
            http://www.gwu.edu/~tip/mastery.html (12 Disember 2000).
http://www.homestead.com/PEOPLELEARN/psychlearncontent1.html

http://www.homestead.com/PEOPLELEARN/psychlearncontent2a.html

http://www.homestead.com/PEOPLELEARN/PSYCHHistory.html

www.geocities.com/guruvalah/psikologi_belajar.pdf

*****Artikel ini hanyalah hasil tugasan saya semasa di IPG. Diposkan hanya untuk tujuan akademik sahaja.
***** Copy paste hanya diberikan setelah diberi kebenaran

0 comments

Iklan......

Amazing Autistic

 


Blogger Template By LawnyDesigns