Saturday, March 28, 2009

Suara cacat ganggu hidup
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
Please click Here

Ramai yang tidak sedar mereka kemungkinan tergolong dalam kumpulan yang menghidap kecacatan komunikasi. Bagaimana mengenali masalah tersebut?
SELEBRITI seperti Tom Cruise dikenali kehebatannya di layar perak, manakala David Beckham di padang bola. Namun, kedua-dua selebriti ini mempunyai satu persamaan iaitu kecacatan komunikasi.
Ketika kecil Tom Cruise didapati tidak tahu membaca dan juga tidak mengenal huruf. Ibu bapa Cruise menyedari anak mereka masih tidak mengenal huruf dan membaca ketika berumur tujuh tahun.

Suami kepada Katie Holmes itu menghidap penyakit kecacatan komunikasi yang dikenali sebagai disleksia.
Bagaimana Tom Cruise berlakon, sedangkan beliau menghadapi kesukaran membaca? Setiap kali berlakon, seseorang akan membacakan beliau skrip. Beliau hanya mendengar dan menghafal skrip tersebut melalui pendengaran.
David Beckham pula memiliki suara yang agak halus. Melihat rupanya, siapa sangka beliau mempunyai suara yang agak tidak sedap untuk didengar.
Selain itu, kecacatan komunikasi juga melibatkan individu yang memiliki suara sengau, nyaring, garau, halus, gagap ataupun individu yang tidak tahu membaca.

Masalah itu turut dialami oleh seorang lelaki dari Pulau Pinang bernama Sham. Berusia 35 tahun, dia dilahirkan gagap. Dia hanya menyedari dirinya gagap apabila diejek oleh kawan-kawannya ketika sesi suai kenal bagi pelajar-pelajar tahun satu di Sekolah Rendah Kebangsaan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
"Saya selalu diejek budak sekolah ketika itu. Memang saya berasa rendah diri. Ada yang menggelarkan saya si gagap," katanya yang mengingati semula peristiwa yang telah menjangkau 28 tahun itu.
Namun, Sham memberitahu, semua ejekan itu tidak melemahkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang perniagaan di salah sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur.
"Selepas tamat belajar, saya memohon kerja di sebuah syarikat swasta tetapi tidak diterima walaupun saya layak. Alasan yang diberi kerana saya gagap.
"Saya sangat kecewa dan sedih. Pernah terlintas dalam hati kenapa semua ini terjadi kepada saya," katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.
Selepas menganggur selama setahun, akhirnya Sham didatangi seorang kawan yang mengajaknya untuk membuka sebuah perniagaan jualan langsung.
"Sewaktu menceburkan diri dalam perniagaan jualan langsung, saya tidak mempunyai keyakinan. Bagaimana kita hendak meyakinkan orang untuk membeli sedangkan saya sendiri gagap.
"Pernah terjadi, semasa mula-mula berniaga, tidak sampai lima minit saya bercakap, orang dah ketawa," katanya yang berjumpa dengan tiga orang kenalan untuk menjual barangan kesihatan jualan langsung ketika itu.
Namun, semangat Sham tidak terhenti di situ. Walaupun dia tidak berjaya meyakinkan orang untuk membeli barangan tersebut, dia terus mencuba.
Akhirnya, berkat usaha dan semangat yang sentiasa membara, Sham berjaya dalam perniagaan jualan langsung.
Dengan duit hasil jualan langsungnya itu, dia mula menceburi bidang menternak lintah.
Lazimnya, kebanyakan penggiat jualan langsung akan mula berjinak-jinak dengan perniagaan sendiri untuk jaminan masa hadapan sementelah dia sudah berumah tangga dan dikurniakan dua orang anak.
Kini, Sham boleh tersenyum bangga dengan apa yang diperolehnya walaupun dilahirkan sebagai insan yang gagap.

Berwajah seakan-akan keturunan Cina dan memiliki kulit yang gebu, Lina, 28, dilihat sebagai seorang gadis yang cantik dan berpelajaran. Namun, kehidupan gadis ini tidak seindah yang dibayangkan.
Lina juga memiliki kecacatan komunikasi iaitu bersuara nyaring.
"Sudah tiga kali saya bercinta, tetapi gagal. Salah seorang bekas teman lelaki saya pernah mengatakan saya memiliki suara yang bingit terutama apabila kami bergaduh," kata gadis yang berasal dari Kelantan ini.
Malah, menurut gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kimia dari salah sebuah universiti tempatan ini, kawan-kawan serumahnya juga tidak memberikan layanan mesra terhadapnya.
"Kawan saya sendiri bersikap memulaukan saya. Selama dua tahun tinggal serumah dengan mereka, saya tidak sedar rupanya ada perbuatan saya yang tidak disukai mereka.
"Terutama apabila menonton cerita seram di kaca TV bersama kawan-kawan. Setiap kali babak seram muncul dengan spontan saya akan menjerit.
"Malah, jika jalan cerita yang dipaparkan tidak begitu menarik minat, saya akan bising dan bertanya kenapa dia boleh mati? Kenapalah perempuan itu bodoh sangat hendak lelaki macam ini," katanya yang memberi beberapa contoh cerita yang ditonton olehnya bersama rakan-rakan serumah.
Kecacatan komunikasi terjadi disebabkan seseorang itu mengalami kecacatan pada peti suara mereka.
Tambahnya, kadangkala jika marah atau terlalu gembira, Lina juga tidak dapat mengawal lontaran suaranya yang terlalu nyaring.
"Seorang teman memberitahu, saya mempunyai suara halus tetapi nyaring ketika berbual. Malah, dia memberitahu lontaran suara saya sentiasa dalam nada yang tinggi," katanya ketika ditemui dirumah sewanya di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.
Kini, dia lebih berhati-hati saat ingin melontarkan suaranya apabila bercakap dengan kawan-kawannya mahupun orang ramai.
Jenis-jenis kecacatan komunikasi
"PENYAKIT bahasa dan pertuturan dikenali dengan berbagai-bagai istilah seperti kelemahan komunikasi manusia, kecacatan bahasa dan pertuturan atau patologi bahasa.
"Tetapi fenomena itu merupakan satu masalah komunikasi yang melibatkan sama ada bahasa atau pertuturan atau kedua-duanya sekali dalam kalangan para penghidapnya," kata Abdul Rahim Mat Yassin, 54, pensyarah bidang Kecacatan Komunikasi Manusia di Universiti Malaya (UM).
Jelasnya, kejadian seumpama itu boleh berlaku secara semula jadi atau melalui perolehan. Sebagai contoh, mengalami kecederaan di otak sebelah kiri dalam kemalangan atau mengalami strok.
"Bagi individu yang memperolehnya secara semula jadi pula, sesetengah teori memberitahu, ia terjadi disebabkan keturunan atau semasa bayi dalam kandungan," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Tambahnya, terdapat beberapa kategori fenomena penyakit ini (kecacatan komunikasi). Antaranya ialah kecacatan artikulasi, kecacatan bahasa, kecacatan suara, kecacatan pembelajaran dan kecacatan kelancaran.
"Kecacatan artikulasi adalah apabila seseorang individu itu bercakap tetapi butir-butir percakapannya tidak difahami. Sebagai contoh pemesongan, pengguguran atau penambahan bunyi dan juga ayat.
"Kecacatan bahasa pula merujuk kepada individu yang kerap melakukan kesalahan tatabahasa. Malah pemahaman individu itu juga lain daripada pemahaman yang sepatutnya," katanya yang menerangkan lebih lanjut mengenai kecacatan komunikasi.
Abdul Rahim atau mesra dipanggil Masrimie yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan juga memberitahu, bagi kecacatan suara pula, penghidapnya tergolong dalam kalangan individu yang memiliki suara parau, halus, nyaring yang tidak bersesuaian dengan umur dan jantina.
"Bagi kes Tom Cruise, beliau memiliki kecacatan pembelajaran atau disebut disleksia iaitu masalah dari segi mengenal huruf, menulis mahupun membaca. Individu seperti ini normal, malah memiliki keistimewaan dari segi menghafal.
"Akhir sekali kecacatan kelancaran. Mereka ini tergolong dalam kalangan individu yang gagap atau bercakap terlalu laju," katanya
Adakah kecacatan ini boleh diubati?
"Kecacatan komunikasi boleh dipulihkan bergantung kepada jenis kecacatan dan juga tahap keterukan yang dialami. Bentuk-bentuk latihan seperti mengawal peti suara dan juga bukaan peti suara boleh dilakukan," katanya.
Abdul Rahim memberitahu, jika ia melibatkan kecacatan suara atau kecacatan kelancaran yang teruk, ia tidak boleh dipulihkan dengan cara latihan.
"Peti suara itu hanya boleh dibetulkan melalui pembedahan," katanya.

0 comments

Iklan......

Amazing Autistic

 


Blogger Template By LawnyDesigns