Tuesday, October 13, 2009

Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)


Hanya sokongan, usaha gigih dapat bantu anak dari segi pembelajaran.
APABILA anak anda masih gagal menulis namanya sendiri walaupun sudah berusia tujuh tahun, jangan cepat mengatakan dia bodoh atau lembam. Pernahkah anda terfikir bahawa anak anda mungkin berhadapan dengan masalah disleksia? Apatah lagi jika dia sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan dan tidak faham konsep masa seperti semalam, hari ini atau esok.
Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar.
Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.
Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.
Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.
"Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu," katanya.
Bagi membela nasib kanak-kanak disleksia, Persatuan Disleksia Malaysia memiliki tiga pusat pembelajaran khas untuk golongan ini. Bertempat di Ampang, Subang dan Titiwangsa, pusat ini melatih kanak-kanak selama tiga bulan atau paling lama enam bulan sebelum mereka kembali semula ke alam persekolahan.
"Disleksia adalah masalah seumur hidup. Ia bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti," katanya.

Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak. Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.
Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis diam.
Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri. Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.
Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.
Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.
Ciri-ciri kanak-kanak disleksia: Kanak-kanak pra sekolah
Lambat bercakap
Sukar membunyikan perkataan atau rima
Bermasalah dalam menulis nama sendiri
Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadianKanak-kanak yang bersekolah
Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira
Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa
Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok
Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan
Cenderung hilang peralatan sekolah.
Jenis disleksia:
Disleksia trauma - jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.

Disleksia permulaan - pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.

Disleksia sekunder - dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.

4 comments:

maiyah said...

ibubapa kena byk sabar kalo menghadapi situasi camni beri semangat dan perangsang

October 13, 2009 at 10:00 PM
A.K.U said...

tanda diatas tu ada pada aku.tapi masalahnya aku tak pernah dapat rawatan.aku tak boleh membezakan kiri dan kanan.aku juga tak suka pakai tali kasut dan tali leher.aku juga tak boleh menceritakan balik kejadia yang aku dengari.

Orang yang ada penyakit ni boleh berniaga ke?

April 20, 2011 at 2:10 PM
A.K.U said...

Aku salah seorang yang menghidap penyakit disleksia.tapi aku tak pernah berubat dan diubati.Aku sedari bende ni pun dah lambat.MMg betul ciri-ciri diatas.tak boleh guna kasut bertali.tali leher tak tahu guna.nak buat ukuran tak reti.dan rasa rendah diri yang amat sangat.

orang yang menghidap penyakit ni boleh berniaga sendiri ke?

April 20, 2011 at 2:13 PM
Missez Hafiza said...

salam..hi..TQ krn berkongsi mklumt dlm blog..sila kunjungi blog sy jgk..insyallah, kita blh tkr2 pndapat kan :-)

http://www.missezhafirzan.blogspot.com/

April 8, 2012 at 8:58 PM

Iklan......

Amazing Autistic

 


Blogger Template By LawnyDesigns