Saturday, January 10, 2009

KWSP @ Pencen ? Yang mana satu pilihan yang terbaik ?


KEPUTUSAN kerajaan menawarkan opsyen skim pencen kepada anggota sektor awam yang telah memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi peluang kepada mereka untuk menikmati faedah persaraan yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pengumuman mengenainya November lalu menyebut bahawa mereka yang memilih untuk menyertai skim pencen turut menikmati kemudahan perubatan dan ganjaran persaraan selepas bersara seperti yang dinikmati oleh golongan pesara yang lain.
Sehubungan itu, anggota sektor awam perlu membuat pilihan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu dari 1 Januari hingga 31 Januari 2009 dan tarikh kuat kuasanya adalah pada 1 Februari ini.
Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Yeow Chin Kiong berkata, keputusan itu merupakan antara kesan daripada beberapa perubahan dasar baru persaraan dan pencen yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk penambahbaikan faedah persaraan bagi kumpulan berkenaan.
Katanya, seramai 66,733 kakitangan awam terlibat setelah dasar baru tersebut diluluskan oleh Dewan Negara dan surat pekeliling bagi penukaran semula opsyen KWSP kepada skim pencen telah dikeluarkan pada 24 Disember lalu.
Kadar pencen
Pada masa sekarang, kakitangan awam yang memilih skim KWSP terpaksa melepaskan faedah rawatan kesihatan selepas bersara, kehilangan faedah gantian cuti rehat sebagai pesara dan ganjaran persaraan.

Tambahan pula, peningkatan kadar pencen terendah kepada RM720 sebulan bagi pegawai yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun perkhidmatan dan semakan semula pencen dari semasa ke semasa memberi jaminan keselamatan kepada pesara skim pencen berbanding KWSP.
Kini, pengiraan pencen dibuat sehingga maksimum 30 tahun tempoh perkhidmatan dan pewaris boleh menikmati pencen terbitan yang sepenuhnya berbanding sebelum ini.
Dengan semua faedah yang menarik ini, mereka yang berada di bawah skim KWSP tentunya menyedari bahawa mereka berada di pihak yang kerugian.
Tetapi mengapa sesetengah kakitangan kerajaan memilih KWSP pada mulanya? Terdapat banyak sebab untuk mereka berbuat demikian termasuk mereka yang merancang untuk berhijrah ke sektor swasta selepas beberapa tahun dalam perkhidmatan awam.
"Antara sebab mereka memilih skim KWSP itu adalah kerana mereka mahu bebas tetapi ada di antara mereka kini bertukar fikiran dan ada yang minta balik (kepada skim pencen)," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Chin Kiong menjangkakan separuh daripada jumlah tersebut akan menukar kepada skim pencen yang kebanyakannya adalah guru dan kakitangan perubatan berikutan perubahan dasar terhadap skim tersebut yang lebih baik dan menarik.
Pada 1992, melalui Skim Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan yang dilantik selepas 12 April 1992 ditawarkan skim KWSP sebagai alternatif kepada Skim Pencen seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 6A(1) Akta Pencen 1980 dan Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980.
Keputusan kerajaan itu disambut baik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan kakitangan awam termasuk memperkenalkan insentif lain yang diumumkan tahun ini.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohamad Zain sebelum ini berkata, lebih 45,000 kakitangan awam dalam skim KWSP akan mendapat faedah jika memilih skim pencen.
Katanya, kakitangan kategori tersebut sebelum ini memilih skim KWSP semasa kali terakhir semakan gaji tetapi mendapati tindakan itu tidak menguntungkan dalam jangka masa panjang.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Khoo Kah Lin berkata, ramai doktor akan berminat untuk menukar ke skim pencen khususnya mereka yang ingin meneruskan khidmat dengan kerajaan.
Pilihan tepat
Sehubungan itu, Chin Kiong meminta anggota sektor awam terbabit agar membuat pilihan yang tepat dalam masa sebulan ini.
"Dalam masa sebulan ini, pilihlah betul-betul sama ada untuk tukar kepada skim pencen atau kekal dalam skim KWSP. Ini adalah dasar baru yang dimaktubkan dalam undang-undang.
"Jangan tanyalah selepas ini sama ada opsyen lagi atau tidak," katanya.
Chin Kiong berkata, dasar-dasar baru lain yang diberi penambahbaikan setelah 28 tahun dilaksanakan dapat dilakukan setelah kerajaan mampu melakukan penjimatan sehingga RM1.9 bilion melalui dasar meningkatkan umur persaraan kepada 58 tahun.
"Ini berikutan sebanyak 15,000 kakitangan dijangka tidak akan bersara tahun depan melalui dasar persaraan baru itu, selain penjimatan melibatkan pembayaran gratuiti yang perlu dianjakkan sehingga pekerja tersebut bersara," katanya.
Katanya, kerajaan akan membelanjakan RM9 bilion termasuk peruntukan tambahan RM1.3 bilion pada tahun depan bagi melaksanakan dasar baru pencen dan persaraan tahun depan.
Menurutnya, walaupun negara dijangka mengalami kesan kelembapan ekonomi dunia tetapi pembayaran pencen kepada mereka yang layak tidak akan terjejas seperti pemansuhan penyusutan pencen terbitan kepada 70 peratus selepas tempoh 12 setengah tahun yang dilaksanakan sejak 1980.
Beliau berkata, mulai 1 Januari lalu, kerajaan akan membayar sehingga 100 peratus pencen yang memberi manfaat kepada kira-kira 141,000 pesara dan penerima pencen. - Bernama


Sumber :

No comments:

Pentaksiran Murid Berkeperluan Khas

 Pentaksiran.