Saturday, October 24, 2009

KESIHATAN
Kelam-kabut sindrom penyakit
Oleh SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.
SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.
Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut
“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.
Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.
Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.
Kesukaran kawal pernafasan
Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.
“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.

Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.
Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.
“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.
Tiada rawatan khusus
Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.
Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.

3 comments:

balqiss_99 said...

assalamualaikum..
saudari, saya mempunyai ciri2 disleksia yg saudari senaraikan itu semasa saya kecil (sek rend), tp mungkin disbbkan tak siapa perasan, maka saya bsekolah di sek keb biasa. ketika itu sy sukar memahami arahan, x mampu mengeja, x boleh bercerita, sering melanggar meja/kerusi, x boleh faham mengikat tali kasut,dll..Tapi sy masih ingat sy masih mampu atau pandai bermain congkak, lompat getah, dan saidina, hehe bila exam semua merah.saya x ingat sampai umur 10tahun saya buat apa di sek. sehinggalah sy bpindah ke kg, baru la pelajaran sy semakin meningkat. skrg sy sudah berumur 28 tahun dan ada ijazah. agaknya kenapa saya ada ciri2 disleksia itu ye, dan kenapa atau bagaimana saya boleh pulih?

December 20, 2009 at 3:52 PM
ari said...

W'salam.
Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kerana sudi singgah berkongsi cerita di blog serba sederhana ini. Untuk menjawab soalan saudari, saya bukanlah orang yang selayaknya. Ini kerana saya cuma guru sekolah bg program pend khas (LD) dan bukannya pakar klinikal/psikologikal dlm bidang ini.
walaubagaimanapun berdasarkan pembacaan saya (setakat pengetahuan sy sehinggah hari ini) Disleksia dan Dispraksia adala dua perkara yang berbeza. Perkataan Disleksia bukan lagi sesuatu yg asing dlm m'kat kita dan sebaliknya bagi perkataan Dispraksia (dan terus terang sy juga baru mengetahuinya).
********untuk selanjutnya sila rujuk entry Disleksia VS Dispraksia***

Terima kasih.
Maaf jika tidak dapat membantu.
Sudikan untuk berkongsi lagi... :-)

December 24, 2009 at 12:31 AM
wan salmah said...

assalamualaikum,
anak lelaki saya berusia hampir 4 tahun. dia pernah kemalangan, kepala terhantuk dan menjalani 3 pembedahan di kepala sewaktu dia masih bayi.

sekarang, walaupun doktor mengkategorikan dia normal, dia lambat bercakap tak spt kanak2 seusianya, perkataan dituturkan tak jelas/tak lengkap. dia juga agak agresif. dia juga lambat dpt apa2 yg dipelajari. saya sudah hantar dia ke taska yg bersekali dgn tadika.

sdri, apakah yg saya harus buat? patutkah diteruskan di sekolah biasa atau ke sekolah yg ada kelas khas utknya?

terima kasih.

April 26, 2011 at 12:16 AM

Iklan......

Amazing Autistic

 


Blogger Template By LawnyDesigns