Friday, March 12, 2010

Satu lagi Kisah Autisma



PESONA

Hasnah tidak sembunyi Ziqri

DIA pernah terjerit-jerit dan berbaring di depan kedai dan di pusat beli-belah, malah dia pernah mengacukan pisau di lehernya ketika makan di restoran.

Itu antara tindakan yang pernah dilakukan oleh Ahmad Ziqri Morshidi, 14. Anak ketiga daripada empat beradik kepada Datuk Morshidi Abdul Rahman, 57, dan Hasnah Abdul Rahman, 51, bertindak demikian bukan kerana tertekan. Sebaliknya remaja itu menghidap autisme sejak umurnya empat tahun.

Mengakui tindakan Ahmad Ziqri kadangkala di luar kawalan semasa dibawa bersiar-siar, Hasnah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GITC Secretariat Sdn. Bhd. tidak menjadikan insiden tersebut sebagai alasan untuk mengurung Ahmad Ziqri di rumah.

Malah, status sebagai orang kenamaan dan wanita bekerjaya bukan alasan kepada Hasnah malu membawa anak istimewanya itu kepada khalayak.

"Ahmad Ziqri bertindak seperti itu kerana dia mahu menarik perhatian orang apabila permintaannya gagal dipenuhi.

"Dia tidak peduli, di mana-mana pun dia akan buat perangai. Kanak-kanak seperti Ahmad Ziqri memang begitu, tapi lama-kelamaan kami sekeluarga faham dan hanya bersabar dengannya," kata Hasnah yang tidak menafikan terbit sedikit perasaan malu pada peringkat awal Ahmad Ziqri didiagnosis sebagai penghidap autisme.

Bagaimanapun, naluri keibuan Hasnah akhirnya berjaya melenyapkan perasaan malu itu apabila dia semakin memahami dan tahu cara-cara mengawal tingkah laku Ahmad Ziqri.

Cerita ahli perniagaan yang turut menganjurkan pelbagai program seperti Persidangan Pelancongan Islamik itu, untuk mendidik dan mengawal tingkah laku Ahmad Ziqri dilakukan secara berhemah.

"Saya tidak memukul Ahmad Ziqri, tetapi cukup sekadar meninggikan suara.

"Hendak kawal tindakan dia, saya hanya katakan, Ziqri don't!, tetapi dalam nada yang betul. Kalau marah, saya buat suara macam marah. Dengan cara ini dia sendiri akan faham dan datang pada saya sambil menunjukkan muka sedih, menandakan dia minta maaf," ujar Hasnah.

Ketika berkunjung ke kediaman Hasnah di Wangsa Baiduri, Subang Jaya, Selangor, Ahmad Ziqri cukup riang.


HASNAH bermain monopoly bersama Ziqri (dua dari kiri) sambil ditemani oleh adik-beradik. Dari kanan: Aidil, Rahim dan Taufik.


Sekali pandang, remaja itu tidak kelihatan seperti seorang penghidap autisme kerana Ahmad Ziqri tampak segak, kemas dan boleh memahami keadaan di sekitarnya.

"Dia tahu hari ini ada kawan dari Kosmo! hendak datang, itu yang dia gembira keluar menyambut awak itu," kata Hasnah sambil memuji tindakan Ahmad Ziqri yang mesra menyambut tetamu dengan perkataan good boy.

Mengimbas zaman kanak-kanak Ahmad Ziqri, remaja itu dilahirkan sama seperti bayi lain tanpa sebarang masalah.

Penyakit Ahmad Ziqri itu hanya dikesan ketika dia berusia empat tahun kerana pada usia itu dia masih tidak boleh bercakap walaupun memanggil mama atau papa.

"Dia biasanya hanya menunjukkan bahasa isyarat sebagai tanda dia memahami percakapan orang lain.

"Kalau kita kata TV3, nanti dia akan cari surat khabar tunjuk logo itu. Masa itu saya tidak fikir yang bukan-bukan kecuali mungkin Ahmad Ziqri terpengaruh dengan kerja saya dalam bidang pengiklanan," ujarnya.

Akhirnya, Hasnah nekad membawa Ahmad Ziqri berjumpa dengan pakar untuk mengajar anak itu bertutur.

"Memang sangat mencabar ketika hendak mencari sekolah untuk Ahmad Ziqri belajar bertutur. Walaupun ada pusat-pusat latihan anak-anak autistik tetapi tidak ada sebuah sekolah pun yang ada kekosongan untuk menerima anak saya. Hanya Tuhan yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Menitis air mata mengenangkan keadaan itu," kata Hasnah mengimbau peristiwa tersebut.

Hiperaktif


HASNAH sentiasa menemani anak-anaknya pada masa lapang.


Mujur selepas itu Hasnah menemui sebuah pusat rawatan alternatif yang sedikit sebanyak membantu Ahmad Ziqri melatih kemahiran pertuturannya.

Membesarkan seorang anak autisme, Hasnah melayan Ahmad Ziqri seperti anak-anaknya yang lain dengan membawanya melancong, makan di luar, melawat rumah sanak saudara dan membeli-belah.

Mengakui dalam kalangan kawan-kawan dan sanak saudaranya tidak ada yang memandang sinis, Hasnah mencuba sebaik mungkin untuk mendidik anaknya berdikari.

"Saya latih Ahmad Ziqri untuk mencari makanan sendiri di dalam rumah. Kalau dia hendak makan sosej atau kentang, dia pergi dapatkan di dalam peti ais dan kemudian minta pembantu rumah masakkan.

"Sebab itu biasanya dia hanya makan makanan yang dia pilih sendiri dari dalam peti ais," terang Hasnah sambil memberitahu anaknya itu juga dididik untuk ke tandas, memilih pakaian bahkan boleh bermain permainan video dan alat muzik secara sendirian.

Pada waktu malam, Ahmad Ziqri akan menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer. Dia akan bermain hingga lewat malam secara bersendirian,

"Kalau dia suka dia akan menjerit atau melompat-lompat. Hebatnya Ahmad Ziqri, dia boleh main permaianan video macam anak-anak normal yang lain, malah lebih hebat daripada abang-abangnya.

"Pada sebelah malam dia akan tidur dengan abang sulungnya, tapi tak pernah tidur awal. Paling awal pun dia tidur pukul 3 pagi. Sepanjang hari selepas pulang dari sekolah dia akan menghadap komputer dan lompat ke sana ke sini," ujar Hasnah.

Adakah Hasnah berkongsi tanggungjawab menjaga Ahmad Ziqri bersama suaminya? Hasnah memberitahu, sejak tujuh tahun lalu dia menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

"Pembantu rumah dan pemandu banyak membantu meringankan beban saya selain kakak, Habsah yang tinggal bersama di dalam rumah ini," katanya.

2 comments:

Syahida said...

salam Ari, saya kenal anak ini. Ziqri dan anak saya(abil) pernah masuk kindy yang sama lebih kurang 3-4 tahun lepas...dah besar dah Ziqri sekarang...

Tea Cha Hai said...

W'salam
Wah...Handsome kan... biasanya anak2 autisme ni handsome2 belaka...
Sangat setuju...kemahiran anak2 autisma pada permainan komputer..
kami tak berapa khuatir klu murid2 guna personal laptop cikgu... sesekali bg mereka main "game" sebagai ganjaran....

Pentaksiran Murid Berkeperluan Khas

 Pentaksiran.