JURNAL MINGGU 4 ( 7 – 11 APRIL 2008 )
Pada minggu ini kami di Pendidikan Khas hanya ada empat hari persekolahan. Ini berikutan cuti peristiwa sempena Sukan Mini Meet yang dianjurkan oleh Special Olympics Kota Kinabalu, Sabah pada hari Ahad (6 April 2008) lalu. Sepanjang minggu ini seperti biasa p & p berjalan dengan baik dalam erti kata Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Sungguhpun tidak semua murid yang hadir mengikuti P&P dengan baik, Pelatih berpuas hati kerana ada juga dikalangan murid tersebut cepat memahami apa yang cuba disampaikan oleh Pelatih. Kebanyakkan p&p Pelatih dalam minggu ini menggunakan stick yang buat sendiri sebagai alat untuk membilang dan murid memahami akan itu.
Pelatih akan meneruskan beberapa aktiviti dan kemahiran yang diajar pada minggu hadapan bagi memastikan murid lebih menguasai kemahiran tersebut. Tambahan pula ada diantara murid – murid tersebut yang tidak hadir ke sekolah atau lewat datang setiap kali waktu Mata Pelajaran Matematik bermula. Perkara ini membuatkan murid tersebut ketinggalan berbanding dengan rakan – rakan lain. Kelawatan murid ke sekolah sebenarnya bukannya sahaja masalah yang dihadapi oleh Pelatih seorang malah guru – guru senior yang lain terutamanya yang mengajar diawal waktu pagi. Selain itu, kebanyakkan murid Pendidikan Khas juga diambil oleh ibubapa atau pemandu van sekolah lebih awal daripada waktu pulang (11.55 a.m) sepatutnya. Pelatih tidak memandang masalah mengambil anak lebih awal sebagai masalah besar terutamanya bagi murid yang hyperaktif. Ini kerana kebanyakkan murid mula tidak fokus kepada p&p diakhir – akhir waktu persekolahan. Ada pernah satu kejadian yang murid hyperaktif ini lewat diambil oleh van sekolahnya dan dia merasakan dia ditinggalkan. Tanpa disedari oleh sesiapa, murid ini keluar sekolah dengan tujuan pulang ke rumah dengan sendirinya. Apabila disedari guru – guru mula risau dan bertindak mencari sehinggah ke luar sekolah. Walaupun buat kali tersebut murid tersebut tidak mengalami sebarang kecelakan, namun ia merupakan tanggungjawab guru. Selain itu keadaan luar kelas yang semakin bingit dengan suara murid sesi petang juga menjadi faktor murid kurang tumpuan belajar.
Minggu ini juga Pelatih menghadiri Kelas Bahasa Inggeris yang diadakan untuk guru Mata Pelajaran Matematik dan Sains. Program ini dinamakan Program Rakan Taulan di mana, guru Matematik dan Sains sebagai Guru Taulan (GT) manakala guru Bahasa Inggeris sebagai Guru Pembimbing (GP). Pelatih suka menghadiri kelas ini memandangkan ianya mampu mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris Pelatih bukan sahaja dalam pengajaran Matematik malah dalam komunikasi harian. Minggu ini kami Guru Taulan mempelajari Bab Komunikasi. Pelatih dapati banyak yang Pelatih perlu perbaiki samada dalam penulisan dan komunikasi Bahasa Inggeris ini. Pelatih akui yang Pelatih agak lemah dalam kemahiran tatabahasa berbanding komunikasi dalam Bahasa Inggeris sejak zaman sekolah lagi. Memandangkan Pelatih yang berperwatakan “muka tembok” sikit, Pelatih tidak malu atau kekok bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun Pelatih tahu sebutannya ada yang tidak betul. Bagi Pelatih kesalahan tatabahasa dan sebutan semasa perbualan bukanlah masalah besar memandangkan Pelatih masih berada di Negara Malaysia yang Bahasa Inggeris bukanlah bahasa utamanya. Apa yang penting kedua – dua pihak dalam komunikasi tersebut faham apa yang disampaikan dan diterimanya. Kebiasannya Pelatih mengaplikasikan perbualan dalam Bahasa Inggeris ini ketika berbual atau bertanyakan sesuatu kepada pegawai pemasaran di sesebuah kedai dan kaunter – kaunter bank. Pelatih merasakan dengan cara ini Pelatih boleh berlatih berbual dalam Bahasa Inggeris.
Diakhir sesi program tersebut, Pelatih ada dipanggil oleh Penolong Kanan 1 yang juga terlibat dalam program ini memandangkan Beliau juga Guru Matematik. Pn. Carol meminta minit mesyuarat PPSMI daripada Pelatih. Sememangnya Pelatih sudah tahu Pn. Carol akan meminta minit mesyuarat tersebut oleh itu Pelatih sudah menyediakan lebih awal. Memandangkan sikap bertangguh Pelatih, Pelatih tidak mencetaknya untuk disemak. Walaupun Pn. Carol tidak berkata apa, namun Pelatih masih rasa kurang senang dengan sikap bertangguh Pelatih. Pelatih seharusnya memberikan salinan draf mini mensyuarat tersebut kepada Pn. Carol sebelum diminta. Pelatih berharap Pelatih tidak akan mengulangi sikap ini memandangkan orang lain boleh menilai siapa kita melalui cara kerja dan rasa tanggungjawab kita terhadap kerja.
Perkara lain yang berlaku dalam minggu ini ialah lawatan sambil belajar Pelatih Institut Perguruan Gaya seramai 59 orang diiringi tiga orang pensyarah ke Pendidikan Khas SK Bukit Padang. Antara lain tujuan lawatan pelatih – pelatih ini juga ialah mengetahui ‘apa itu’ Pendidikan Khas serta melaksanakan aktiviti p&p terhadap murid pendidikan khas mengikut minor mereka. Pelatih juga berkesempatan berbual dengan seorang pensyarah mereka berhubung dengan isu pendidikan khas. Antara topik perbualan kami ialah tanggungjawab ibubapa kepada anak istimewa mereka, punca – punca lahirnya anak istimewa dan kemudahan untuk mereka serta kejayaan beberapa orang kurang upaya yang dikenali. Apa yang membanggakan beliau ialah kesabaran dan kesungguhan yang berlipat ganda yang ada dalam guru – guru pendidikan khas. Beliau juga berbangga adanya guru – guru muda seperti Pelatih yang sudi menjadi guru Pendidikan Khas. Harapan Beliau dapat memberi pendedahan dan menarik minat pelatih – pelatih IPG untuk berkecimpung dalam dunia Pendidikan Khas.
****Catatan diatas adalah cetusan peribadi...tidak berpihak atau memihak atau minta di pihak...copy n paste tidak dibenarkan******
No comments:
Post a Comment