Friday, August 28, 2009

Al Fatihah....



PEMERGIAN tokoh akademik dan ekonomi negara, Senator Prof Datuk Dr Ismail Salleh, 62, adalah satu kehilangan besar dan tiada gantinya kerana pengorbanan Allahyarham yang tidak terhitung dalam mengangkat martabat dunia pendidikan, membantu memacu ekonomi negara dan membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU). Bagi anak ketiga Allahyarham, Aqilah Zafirah Hanis, 17, berita pemergian bapa yang diterimanya pada jam 4 pagi semalam, memang mengejutkan keluarganya kerana mereka sepatutnya menyambut kepulangan Ismail, pagi semalam dan bakal meraikan hari jadinya ke-62 pada 2 September depan. “Ayah mengalami penyakit buah pinggang tetapi ketika bertolak ke Beijing, Selasa lalu, kesihatan ayah baik,” katanya.
Teman rapat Ismail - bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata berita sedih pemergian pakar ekonomi itu yang diterimanya menerusi SMS awal pagi semalam, sungguh memeranjatkan kerana dia tidak mengetahui sebarang masalah kesihatan yang dialami Allahyarham. “Saya mengenali Ismail sejak 1970 ketika dalam penerbangan ke New York dan ketika di universiti, saya banyak membantunya dengan membacakan buku kepadanya dan hubungan baik kami bertahan hingga sekarang. “Bagi saya, dia seorang rakan yang baik, memiliki kecerdasan otak yang luar biasa, rajin belajar walaupun ada kekurangan diri dan berjaya membuktikan kemampuannya sehingga memiliki PhD.
“Dia juga seorang yang dedikasi dan memberi seluruh tumpuan terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya. Semangatnya untuk membantu OKU dan mengangkat martabat masyarakat Melayu khasnya bagi kelas pertengahan sungguh mengagumkan, malah Allahyarham juga sentiasa fokus terhadap arah ekonomi yang mahu kita tuju,” katanya. Siti Zaharah berkata, sikap Allahyarham yang tidak pernah melupakan rakan walaupun sudah memiliki kedudukan tinggi dalam kerjaya sangat menyenangkan mereka, malah beliau sangat kreatif dan sering menjadikan pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ sebagai panduan hidupnya. “Kita kehilangan seorang permata kerana Allahyarham adalah seorang yang sangat dihormati di negara ini dan sangat konsisten dalam penguasaan ilmu,” katanya.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula menyifatkan Allahyarham banyak memberikan sumbangan, idea bernas dan input untuk kerajaan ketika menyertai Kumpulan G15, serta menyediakan memorandum kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Ekonomi dan Pembentukan Bangsa.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata Allahyarham adalah seorang ikon yang berjaya walaupun kurang upaya, malah kekuatan semangat yang dimilikinya melebihi orang normal. Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura pada jam 3.50 pagi semalam. Allahyarham yang berada di Beijing dengan ditemani isterinya, Datin Hasnah Wahab, 51, sejak Selasa lalu atas urusan rasmi, sepatutnya pulang ke tanah air kelmarin, tetapi perjalanan itu ditangguhkan hingga semalam, atas sebab tertentu. Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Ismail yang juga satu-satunya cendekiawan yang cacat penglihatan di negara ini, tidak pernah meninggalkan isterinya jika beliau keluar rumah. Malah Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di depan isteri tercinta.
Anak kedua daripada sembilan beradik, Ismail yang tamat belajar hingga Tingkatan Enam Atas dan kemudian mendapat biasiswa Mara untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pertama daripada komuniti OKU pada 18 Disember 2007. Melalui kehidupan yang penuh ranjau dan duri untuk mengejar kejayaan di sebalik kecacatan penglihatan yang dialami sejak berusia 13 tahun, tidak pernah menjadi penghalang untuk Ismail mencapai apa yang diingininya, sehingga mampu memperoleh kelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dan politik dari University of New York. Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Antarabangsa Twintech (IUCTT) dan Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia, mengakui terpaksa melalui banyak diskriminasi akibat kecacatan yang dialaminya itu.
Susulan itu, sebaik dilantik sebagai Senator yang dianggap sebagai detik paling manis dan bersejarah dalam hidupnya, beliau berazam untuk mengangkat martabat OKU bagi membantu golongan berkenaan menerusi pandangan, pendapat dan cadangan pelbagai isu yang dibangkitkannya pada forum tertinggi negara.
Bapa kepada enam anak, Ismail yang juga Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (Isis) turut menjadi antara lima tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun lalu. Pemilihannya itu adalah pengiktirafan yang diterima Ismail terhadap sumbangannya dalam beberapa bidang seperti pendidikan dan ekonomi, selain kerja amal yang dilakukannya bagi membantu OKU. Tidak hanya memperjuangkan nasib OKU, Ismail turut prihatin terhadap nasib pekerja di negara ini apabila mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan dasar gaji minimum dalam pelaksanaan model baru ekonomi yang dirancang jika mahu meningkatkan produktiviti dan inovasi di kalangan pekerja.
Lain2 Berita: Bernama

No comments:

Pentaksiran Murid Berkeperluan Khas

 Pentaksiran.