BERMAIN: INTERVENSI MURID BERKEPERLUAN KHAS (MBK)
Kebelakangan ini bermain sudah menjadi isu yang sering diperbincangan oleh pengamal perkembangan kanak- kanak. Seruan terhadap kepentingan aktiviti bermain di awal perkembangan kanak- kanak sangat mempengaruhi kemahiran masa depan kanak- kanak itu. Bermain bukan sekadar main- main tanpa makna, melalui bermain kanak- kanak memperoleh banyak kemahiran asas kehidupan dan seterusnya membantu dalam kesediaan belajar mereka di sekolah. Bermain adalah satu pekerjaan bagi seorang kanak- kanak, kepuasan kehidupan bergantung kepada kepuasan bermain mereka.
Bermain adalah fitrah manusia dan dikatakan adalah tidak mungkin boleh memaksa seseorang itu bermain, dan tidak seorang pun boleh tumbuh membesar tanpa bermain (Besio & Carnesecchi 2014). Impak bermain ini telah dihujahkan oleh beberapa tokoh perkembangan kanak- kanak seperti Jean Piaget dan Vygotskij. Piaget fokus kepada kepentingan bermain dalam perkembangan kognitif di mana manusia belajar melalui pengalaman yang di alami sendiri (Besio & Carnesecchi 2014). Manakala Vygotskij menegaskan bahawa sifat bermain kanak- kanak memberi kesan terhadap perkembangan sosial mereka. Aktiviti aktif bermain adalah nadi perkembangan bagi seorang kanak- kanak dimana ianya membantu dalam perkembangan pelbagai kemahiran asas kehidupan seperti kemahiran interaksi dan komunikasi, kemahiran psikomotor, kemahiran pengurusan emosi (self-regulate) dan kematangan mental kanak-kanak (Ruhaena, 2015). Kajian Sandra, W. Russ dalam kajiannya menggunakan Affect in Play Scale, menunjukkan kesan Bermain Olok- olok sebagai asas kreativiti seseorang ketika dewasa kelak (Russ 2014).
Pendekatan bermain dalam intervensi Murid Berkeperluan Khas (MBK) terutamanya telah menunjukkan impak yang positif. Adalah menjadi peranan ibu bapa mendapatkan intervensi seawal usia anak. Intervensi dapat mengurangkan karekteristik yang akan mengganggu proses belajar anak di sekolah kelak. Kajian menunjukkan MBK yang ada intervensi mudah menerima pembelajaran dan pada tahap kebersediaan belajar di sekolah dan juga mampu berada sama dengan rakan perdana. Kepentingan bermain bebas ini telah membuktikan memberi impak positif terhadap perkembangan kemahiran bagi seorang kanak- kanak tipikal termasuklah kanak- kanak MBK.
Berbanding murid prasekolah perdana, MBK prasekolah integrasi memerlukan bimbingan guru bagi mencetuskan keinginan bermain dalam diri mereka ekoran limitasi belum tahu bermain, belum tahu itu adalah mainan mahupun limitasi kemahiran koordinasi, persepsi, fizikal dan sebagainya yang wujud dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, memahami bermain dalam kontek perkembangan kanak- kanak dan kanak- kanak berkeperluan khas khususnya adalah sangat penting bagi seorang guru prasekolah integrasi. Selain memahami tahap kemahiran bermain individu MBK prasekolah, guru perlu tahu apa peranannya dalam amalan play-based dan bila perlu dia berperanan semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Rakap et al. 2018).
No comments:
Post a Comment